MIM, SAD, RA’ – MUSIBAH, SABAR, REDHA
Ungkapan yang sering diucapkan oleh abang-abang senior
apabila sampai sahaja menjejakkan kaki di bumi Mesir. Bagi adik-adik yang masih
lagi fresh ni, sudah pasti akan terfikir apa yang tersirat daripada ungkapan perkataan
tersebut. Namun, lama kelamaan ungkapan tersebut akan mula sebati dengan
sendirinya oleh para pelajar di sini. Pengalaman yang Tuhan berikan akan
mengajar apa maksud sebuah musibah, apa itu makna kesabaran, dan apa itu erti
sebuah keredhaan.
MESIR, BANGSA DAN SEJARAHNYA
Negara Mesir ialah sebuah negara yang terletak di pinggiran benua Afrika. Ya,
pertama sekali kita perlu tahu yang Mesir ini terletak di benua Afrika, bukan
dalam kawasan Timur Tengah seperti Arab Saudi, Jordan, Yaman, dan lain-lain. Mesir
merupakan sebuah negara yang menghubungkan antara Afrika dengan Asia. Semenanjung
Sinai yang besar itu diibaratkan seperti jambatan yang menghubungkan antara dua
benua ini. Oleh sebab itu jika kita perhatikan banyak pengaruh dari Asia
terutamanya negara-negara Arab yang wujud di bumi Mesir ini. Sebagai contohnya,
pengaruh agama, budaya, penggunaan bahasa, makanan asasi dan banyak lagi.
Ibu negara Mesir ialah kota Kaherah. Kota yang diberi
jolokan negeri seribu menara di mana terbinanya ribuan masjid dan juga
pusat-pusat pengajian ilmu. Kota yang mana wujudnya institusi pengajian agama
tertua di dunia iaitu Al-Azhar. Di sinilah lahirnya ribuan ulama daripada
pelbagai aliran ilmu. Populasi penduduk negara Mesir adalah lebih kurang 98
juta orang penduduk. Akan tetapi, lebih 10 juta orang penduduk Mesir bertapak
dan bermaustautin di kota Kaherah ini. Tidak hairanlah kota ini terkenal dengan
kesibukan dan kepadatan. Buktinya kita boleh lihat apabila ingin solat Jumaat
di mana-mana masjid di sini. Setiap masjid pasti akan dipenuhi oleh kaum lelaki
muslim. Kadang-kadang sampai melimpah hingga ke luar masjid. Itu baru kaum
lelaki, tak dicampur lagi dengan kaum wanita dan juga orang bukan Islam.
Nampakkan betapa padatnya kota ini.
Mesir adalah sebuah negara Mediterranean yang mana bersempadan
dengan jalur Gaza dan Israel di arah timur laut. Di arah timur, Mesir
bersempadan dengan Laut Merah dan Teluk Aqabah di Jordan. Jika arah selatan
pula bersempadan dengan Sudan manakala arah barat pula bersempadan dengan Libya.
Di tengah-tengah negara Mesir, wujudnya sebuah sungai yang diberi nama sungai
Nil. Sungai Nil yang menjadi kebanggaan rakyat Mesir ini merupakan sungai yang
terpanjang di dunia. Kita boleh lihat di sini betapa berkuasa dan pemurahnya
Allah SWT yang menciptakan sebuah sungai di tengah-tengah padang pasir tandus
yang mana akhirnya sungai inilah menjadi sumber kehidupan masyarakat Mesir dan
merupakan permulaan kepada pembinaan tamadun Mesir.
Bercakap tentang tamadun Mesir, secara ringkasnya tamadun Mesir
bermula sekitar tahun 6000 BC lagi yang mana dinamakan sebagai tamadun Mesir
Purba. Tamadun Mesir Purba ini wujud dengan dua buah kawasan jajahan yang besar
iaitu Upper Egypt dan juga Lower Egypt. Pada sekitar tahun 3150
BC, seorang firaun bernama Ramsis II yang mana pada ketika itu menjadi raja
Mesir telah menyatu padukan antara Upper Egypt dan juga Lower Egypt.
Atas sumbangannya itulah yang menjadikan beliau antara firaun yang terkenal
berbanding firaun-firaun lain. Oh ya, jika korang belum tahu, ‘Firaun’ itu
merupakan gelaran bagi seorang raja di Mesir pada ketika itu. Kalau di Turki,
gelaran bagi seorang raja ialah ‘Pasha’, kalau tamadun Mesir Purba pula ialah
Firaun.
Seterusnya, antara peristiwa penting yang menjadi batu
loncatan kepada terbinanya tamadun Islam adalah peristiwa pembukaan negara Mesir
oleh sahabat Nabi iaitu Saidina Amru Ibnu Al ‘As pada sekitar tahun 639 M.
Beliau pada ketika itu diarahkan oleh khalifah Umar Bin Al-Khattab untuk
menawan Mesir telah melalui pelbagai siri peperangan sebelum berjaya menewaskan
tentera Byzantium dan menakluk Mesir. Usai daripada penaklukan tersebut, Amru
Al’As telah membina sebuah masjid yang pertama di benua Afrika dan agama Islam
telah tersebar dengan meluas di negara ini. Masjid tersebut masih utuh berdiri
pada hari ini di kota Fustat dan disemadikan nama beliau sempena memperingati
jasa dan sumbangan menyebarkan Islam hingga ke negara Mesir.
Ratusan tahun berlalu, pemerintahan negara Mesir juga sering
bertukar ganti. Bermula dengan pemerintahan kerajaan Bani Abbasiah bertukar
kepada era kerajaan Fatimiah yang mana pada ketika itu berfahaman Syiah.
Setelah kerajaan Fatimiah tumbang kepada Sultan Salahuddin Al-Ayubi maka
lahirlah pula kerajaan Mamluk yang mula menguasai Mesir melalui kemenangan
dalam peperangan Ain Jalut sekitar tahun 1205. Kerajaan Mamluk pula tumbang di
tangan Perancis apabila Napoleon Bonaparte berjaya memenangi Battle of The
Pyramids pada tahun 1798. Apabila kerajaan Turki Uthmaniah mula bertapak,
muncullah pula pemerintahan Dinasti Muhammad Ali Pasha pada sekitar tahun 1805.
Seterusnya pemerintahan yang bertukar ganti disulam dengan kejatuhan empayar
Khalifah Uthmaniah menyebabkan negara Mesir juga terlibat sama dalam campur
tangan British. British telah menukar sistem pemerintahan Mesir kepada
pemerintahan monarki pada tahun 1922. Akan tetapi, sistem pemerintahan ini
tidak bertahan lama apabila berlakunya revolusi
pada tahun 1952 yang membawa transformasi negara Mesir kepada sebuah
negara Republik seperti sekarang.
KALI PERTAMA MENJEJAKKAN KAKI
Setelah tamat sahaja daripada alam persekolahan, saya terus
menyambung pelajaran ke bumi Mesir pada tahun 2015 dalam jurusan Ulum Islamiah.
Memandangkan bidang ini tidak memerlukan sijil STAM seperti bidang-bidang lain,
maka sijil SPM juga cukup memadai untuk melayakkan diri belajar di sini.
Perasaan gembira dapat menyambung pengajian ke luar negara
bercampur juga perasaan sedih kerana tidak pernah berpisah jauh daripada
keluarga. Namun, atas niat ingin menuntut ilmu, perasaan sedih perlu juga
dilawan bagi meneruskan kehidupan di negara orang ini. Hari-hari pertama saya
di sini banyak dibantu oleh senior-senior daripada badan kebajikan anak
Kelantan atau nama rasminya Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM).
Perasaan rindu pada keluarga di Malaysia tidaklah terlalu terasa kerana ada
juga ‘keluarga’ di sini yang sudi bantu. Para senior banyak membawa kami
mengenal tempat-tempat di sini. Antaranya ialah Universiti Al-Azhar, Masjid
Al-Azhar,dan pelbagai tempat lagi. Daripada situ saya boleh melihat buat
pertama kalinya masyarakat arab Mesir, budaya mereka, bahasa pertuturan mereka,
tempat tinggal mereka, makanan mereka dan pelbagai lagi. Sudah tentu sangatlah
berbeza berbanding dengan kita di Malaysia.
Kini, sudah hampir 4 tahun saya berada di sini. Pelbagai
pengalaman telah dilalui. Bermacam-macam ujian dan cabaran telah datang. Hidup
di negara orang sudah pasti banyak dugaannya. Tambah lagi negara arab yang mana
sistem pengurusannya jauh lebih mundur berbanding negara kita. Permasalahan-permasalahan
tersebutlah yang kadang-kadang menjadi musibah kepada para palajar di sini.
Akan tetapi, sampai bila kita perlu menyalahkan sistemkan? Sepatutnya kita yang
perlu berusaha mensistemkan diri sebaiknya bagi menyesuaikan diri dengan sistem
di sini. Itu adalah pengajaran terbesar yang saya dapat daripada segala
permasalahan di sini.
IBRAH NEGARA TIGA HURUF
Mesir adalah sebuah negara yang penuh dengan perkara
tersirat. Bentuk muka buminya, sejarah-sejarah pemerintahannya, masyarakat yang
hidup di atasnya, semuanya adalah perkara yang tersurat. Akan tetapi, jika kita
mengambil ibrah daripada segala apa yang berlaku di sini, itu adalah perkara
tersirat yang kita tak mampu dapat di mana-mana tempat di dunia ini.
Tiga huruf yang menjadi terbinanya nama Mesir ini sudah
cukup membuktikan bahawa negara ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
Musibah-musibah yang berlaku di dalam negara ini bermula daripada tamadun awal
sehingga sekarang banyak mengajar masyarakatnya untuk bersabar dan redha dengan
ujian tersebut. Kesabaran dan keredhaan itulah yang menjadi kunci kepada
sesebuah kejayaan. Buktinya, ribuan permata ilmu telah lahir dari negeri tandus
ini. Di sebalik debu-debu pasir negara Mesir, rakyatnya boleh berbangga dengan
mutiara dan permata tersebut. Mutiara dan permata yang menarik orang dari
seluruh pelosok dunia untuk hadir ke bumi Mesir ini. Itulah ibrah yang terbesar
daripada kiasan tiga huruf tersebut. Jika kita mengambilnya sebagai ibrah.
Satu perkara yang menjadi persoalan, Allah SWT telah nukilkan
dalam surah Yusuf ayat 99 yang bermaksud “Masuklah ke negeri Mesir, in sha
Allah kamu akan aman”. Akan tetapi mengapa berlaku juga pelbagai peperangan dan
persengketaan di sini? Pelikkan. Saya tinggalkan persoalan tersebut supaya kita
semua boleh mencari apa yang tersirat daripada perkara ini. Selamat mencari
hikmah!
Hazim Zahari
Hambailahi07
9 April 2019
Kaherah, Mesir.
Comments
Post a Comment