Antara Cinta Dan Bunga Ros
"Kalau yang jauh-jauh itu, boleh jadi bunga ros. Tapi kalau yang dekat-dekat itu, boleh jadi bunga tahi ayam." Umi saya berpesan kepada saya tentang hubungan kita dengan seseorang.
Saya terpana. Diam seketika. Memikirkan apa yang cuba diperkatakan oleh umi saya.
Kenapa bunga ros? Kenapa pula bunga tahi ayam? Apa kaitan bunga-bunga tersebut dengan hubungan kita dengan seseorang? Adakah kita patut berikan dua bunga itu kepada pasangan yang kita cintai?
Pelbagai persoalan bermain dalam fikiran saya. Tidak faham apa yang cuba umi saya sampaikan.
"Bunga ros itu cantik, wangi baunya. Seperti itulah hubungan kita dengan seseorang, perlu sentiasa wangi baunya dan cantik coraknya. Bukan seperti bunga tahi ayam, walaupun kelihatan cantik tetapi baunya sangat membusukkan. Seperti mana hubungan itu kelihatan cantik tetapi dalam diri tidak ada kepercayaan dan keyakinan antara satu sama lain." Umi saya menerangkan.
"Ohhh....." saya yang baru faham ini mengangguk.
"Tetapi, apa kaitannya pula dengan jarak jauh dan dekat dengan bunga-bunga tersebut?" tanya saya lagi.
Umi saya hanya senyum. Manis.
Saya terfikir, mengapa dikaitkan dengan jarak yang jauh atau dekat. Adakah jarak yang jauh itu baik untuk sesuatu hubungan? Adakah juga jarak yang dekat itu tidak memberi faedah kepada hubungan yang ingin dibina dengan seseorang?
Persoalan lagi yang timbul.
Sampai satu ketika, mungkin dalam dua tiga bulan kemudian. Saya mula menyedari akan hakikat yang mana selagi tidak diijabkabulkan, kita perlu menjaga hubungan dengan seseorang yang kita cintai.
Di situ saya mula mengerti, apa yang cuba umi saya ingatkan.
Kita perlu menjaga hubungan kita. Menjaga pergaulan kita. Menjaga akhlak kita. Supaya perkara tersebut tidak membawa keburukan kepada kita. Kita perlu mewangikan hubungan kita dengan pasangan yang kita cintai dengan menjaga pergaulan itu dengan baik. Tidak selalu berhubung, tidak selalu bermesej, dan tidak selalu berjumpa. Kita perlu cuba untuk berhubung apabila ada perkara penting atau ada salah faham yang berlaku antara kita dan 'dia'.
Itu yang perlu kita cuba usahakan.
Cinta itu perlu kita landaskan ia pada landasan Allah swt. Pada mana Allah swt kata itu yang baik.
Cinta itu fitrah bagi manusia. Apabila sudah jatuh cinta, akan jatuh cintalah juga. Kita tidak boleh menafikan perkara tersebut.
Apa yang mampu kita lakukan. Menjaga cinta itu dengan baik. Mengawal perasaan kita terhadap seseorang dengan baik.
Kita perlu sedar yang perkahwinan itu bukanlah suatu perkara yang mudah. Berkahwin itu bukanlah jangka masanya setahun dua, tetapi perkahwinan itu jangka masanya selama-lamanya. Selama-lamanya itu bukanlah sehingga ke akhir hayat kita, tetapi selama-lamanya itu perlu kita bawa hingga ke syurgaNya.
Maka, adakah kita mampu membawa pasangan yang kita cintai ke syurgaNya jika pada awal perhubungan lagi kita sudah tidak patuh syariatNya?
Kita juga perlu sedar yang kita perlu melakukan persediaan. Persediaan bagi menghadapi alam rumahtangga tersebut. Kita perlu bersedia sepenuhnya dari segi rohani, emosi dan juga kewangan.
Mana mungkin kita mampu membina sebuah keluarga yang beriman jika pendekatan rohani kita sebagai ibu bapa tidak mampu kita berikan kepada anak-anak.
Mana mungkin kita mampu membina sebuah keluarga yang bahagia jika nilai-nilai positif tidak mampu kita tonjolkan jika berlaku sebarang masalah antara kita sekeluarga.
Mana mungkin kita mampu membina sebuah keluarga yang senang jika dari sekarang kita tidak cuba berusaha untuk memperoleh pekerjaan yang baik dan mulia yang mampu menyara kehidupan kita sekeluarga.
Kerana itu yang terbaik untuk kita lakukan. Sebagai hambaNya.
Jangan sampai kita menjadikan fitrah yang suci itu menjadi fitnah yang kotor.
Pada asalnya cinta itu suci, tetapi kita yang mengotorinya dengan ikhtilat yang tidak terjaga.
Jika kita sudah terbiasa dengan selalu berhubung pun, sekurang-kurangnya kita berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan pasangan kita itu dengan sebaiknya. Mengikut syariatnya.
Dari situ saya fikir, kenapa saya perlu menjadi bunga ros? Kerana saya mengerti yang pergaulan bebas itu mudah untuk kita terjebak. Tetapi jika kita berusaha dari sekarang untuk menjaganya, mungkin kita mampu melakukannya. Walaupun kadang-kadang kita tersungkur, ketika tersungkur itulah perlu kita berusaha untuk bangkit kembali.
Kenapa saya perlu menjadi bunga ros?
Kerana saya ingin mewangikan hubungan antara saya dengan wanita yang saya cintai.
Kenapa saya perlu menjadi bunga ros?
Kerana saya tahu perkahwinan itu ialah kehidupan. Bukan permainan.
HazimZahari
Hambailahi07
020515
Manir, Terengganu.

Comments
Post a Comment