Coretan Pertama Di Negara Orang



Syukur tak terhingga kepada Tuhan yang Maha Esa

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi mengizinkan saya menulis sedikit coretan di laman ini. Sudah lama rasanya tidak menulis sejak saya diizinkan oleh Allah SWT berhijrah ke bumi Mesir bagi menyambung pengajian di sini. Syukur saya nyatakan kepada Allah SWT kerana mengurniakan kepada saya rezeki untuk menyambung pelajaran di sini. Terima kasih diucapkan kepada umi dan ayah yang sentiasa menyokong saya serta menampung pembelajaran saya di sini. Tanpa bantuan dan sokongan daripada umi ayah serta keluarga saya, sudah pasti saya tidak mampu untuk meneruskan niat saya untuk menyambung pelajaran di bumi anbiya' ini. Syukur Alhamdulillah.


Berhijrah kepada pengalaman baru.

Apabila kita berhijrah dari suatu tempat ke suatu tempat, sudah pasti kita akan memperoleh pengalaman daripada penghijrahan kita tersebut. Sikit atau banyak, kita pasti akan memperoleh pengalaman daripada perjalanan kita tersebut. Jika kita melihat sesuatu perkara itu melalui mata hati kita, maknanya bukan hanya sekadar pandangan yang biasa-biasa, kita akan memperoleh pelbagai pengalaman dan pengajaran daripada sesuatu perkara tersebut. Jika ditambah dengan kesedaran tentang sesuatu perkara tersebut, kita pasti dapat menggunakannya sebagai pengajaran dalam hidup kita.

Alhamdulillah.. Allah SWT telah mengizinkan saya berada di bumi Mesir selama hampir tiga minggu. Ya, mungkin tiga minggu itu boleh dikatakan suatu jangka masa yang singkat. Namun, apabila bertandang ke tempat baru, kita hendak membiasakan diri di tempat baru ini bukanlah suatu masa yang singkat. Kadang-kadang terasa begitu lama. Mungkin sebab rindukan keluarga kot, sebab tu rasa lama. Hehehe.. Tapi apa yang saya cuba ingin sampaikan, dalam masa tiga minggu inilah pelbagai perkara sudah berlaku, pelbagai situasi telah ditempuh, pelbagai pengalaman telah diambil, dan semestinya pelbagai pengajaran yang patut dipelajari.


Kadang-kadang pengalaman itu ujian, dan ujian ialah pengajaran.

Pelbagai pengalaman telah saya tempuh, alhamdulillah. Ada yang manis, ada yang pahit. Ada yang suka, ada yang duka. Biasalah, hidup kita bukan sentiasa senang, ada masa kita akan didatangkan sesuatu masalah. Ada masa kita akan didatangkan nikmat. Namun, saya percaya yang mana pengalaman manis merupakan peringatan, pengalaman pahit pula pengajaran.

Pengalaman pahit yang kita lalui, sudah pasti kita tidak menyukainya. Tetapi, jika kita cuba positifkan diri kita, pengalaman pahit itu merupakan ujian buat kita. Ujian untuk melihat kita sama ada sabar atau tidak dalam menguruskannya.

Adakah kita mengambil pengajaran daripada ujian yang didatangkan kepada kita tersebut? Atau kita hanya membiarkan ia berlalu tanpa kita mengambil sedikit pun langkah dalam menghadapinya?


Bersabarlah. Kita mampu hadapinya.

Kita perlu tahu. Ujian yang didatangkan kepada kita bukanlah suatu perkara yang ingin menjatuhkan kita. Bahkan ujian tersebut adalah untuk meningkatkan potensi diri kita. Setiap ujian yang berlaku, kita pasti mampu menghadapinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud,

   "Allah SWT tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

                                                                                                       (Surah Al-Baqarah : 286)



Sabarlah. Istiqamahlah.

Dua perkara ini yang sepatutnya menjadi kekuatan kepada kita dalam menghadapi ujian yang didatangkan oleh Allah swt kepada kita. Sabar. Bersabarlah kita dalam menghadapi setiap ujian kerana yakinlah bahawa akan ada kemanisan di sebalik pahitnya kesabaran itu. Istiqamah. Istiqamahlah kita dalam pengharapan kita kepada Allah swt. Dia yang berkuasa sepenuhnya. Dia yang mengatur segalanya. Mohonlah keampunan daripadaNya. Pintalah apa saja daripadaNya. Kerana kita ini hanya hamba, Allah swt jua yang Maha Berkuasa.


Penutup: Mesir ( Mim Sad Ra' )

Senior-senior kami di sini membuat satu perumpamaan bagi nama gah Mesir. Nama Mesir yang dieja dalam bahasa Arab dengan huruf Mim, Sad dan Ra' ini memberi banyak makna.

Huruf Mim bermaksud 'Musibah' menandakan kehidupan di sini pasti akan didatangi musibah atau ujian. Baik kecil ataupun besar ujian itu. Tidak dapat tidak kita perlu menempuhnya.

Kemudian, huruf Sad membawa maksud 'Sabar'. Apabila didatangkan ujian sudah pasti langkah pertama ialah sabar. Dan ini memberi sedikit semangat kepada kami yang belajar di sini untuk menjalani kehidupan di sini.

Dan yang terakhir, Ra' memberi makna 'Redha'. Suatu konsep lengkap dalam menempuh apa jua ujian adalah dengan redha dalam menghadapi ujian tersebut. Apabila kita redha dalam menghadapi pelbagai jua perkara, sudah pasti kita meletakkan sepenuh pengharapan itu kepada Allah swt. Itu menandakan kita tidak lupa pada Pencipta kita.

Maka, apabila kita ingat padaNya, sudah semestinya hati kita akan tenang. Pasti! In sha Allah amin.

Semoga Allah redha.



HazimZahari
Hambailahi07
120815
Hayyu Sabie, Cairo.







Comments

Popular posts from this blog

MIM, SAD, RA’ – MUSIBAH, SABAR, REDHA

Dengan Bismillah Aku Nukilkan