Kebimbangan Dan Ketenangan Menggapai Indah
Rasa bimbang, takut, risau, dan khuatir sering berlaku dalam
diri seorang manusia. Ia berlaku apabila kita menghadapi situasi yang kita
tidak ingin ia berlaku dalam diri. Kita bimbang perkara itu berlaku dan membawa
keburukan kepada kita. Kita takut perkara itu berlaku dan membawa musibah
kepada kita.
Semua insan di dunia ini mempunyai rasa seperti itu.
Kadang-kadang kita perlu bimbang.
Seorang insan yang mengharapkan redha Allah swt menggunakan
rasa bimbang mereka sebagai sebab untuk mereka lebih berhati-hati. Kerana apa?
Kerana mereka tidak mahu apa yang dibimbangkan itu berlaku dan meraja dalam
diri mereka.
Apa yang mereka bimbangkan?
Mereka tahu jika perkara yang mereka bimbang itu mula muncul
dalam diri, jika tidak dijaga dan dikawal dengan rapi mampu membuatkan perkara
tersebut meraja dalam diri mereka. Apabila meraja dalam diri, sudah pasti
sukar untuk dididik kembali.
Seorang manusia yang menjadikan Allah swt sebagai
matlamatnya mempunyai rasa bimbang akan kejahilan yang berlaku dalam diri.
Mereka bimbang kejahilan yang muncul sedikit demi sedikit dalam diri mereka itu
semakin merebak besar sehingga menjadi raja dalam diri mereka.
Dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud,
“Dalam diri seorang anak Adam ini dikurniakan seketul
daging. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh anggotanya yang lain. Jika
buruk daging itu maka buruklah seluruh anggotanya yang lain. Ketahuilah
sesungguhnya daging itu ialah hati.”
Maka apa yang mereka lakukan?
Mereka lebih berhati-hati. Mereka menjadikan rasa bimbang
mereka itu sebagai sebab untuk mereka lebih berhati-hati. Mereka bimbang ucapan-ucapan
tidak berfaedah sentiasa dilontarkan oleh mereka, maka mereka lebih
berhati-hati dalam berkata-kata. Mereka bimbang pandangan mata mereka sentiasa
dihalakan ke tempat yang tidak sepatutnya, maka mereka lebih berhati-hati
dengan lebih menjaga pandangan mata mereka daripada perkara-perkara yang tidak
berfaedah. Mereka bimbang rasa marah dan baran mereka dikeluarkan sesuka hati
tak kira masa dan tempat, maka mereka lebih berhati-hati dengan melatih sifat
sabar dan berlapang dada mereka.
Begitulah insan-insan seperti ini. Kebimbangan itu tidak
memberi keburukan kepada mereka, tetapi kebimbangan itu menjadikan mereka lebih
mendekati Ilahi.
Apabila kebimbangan membawa kepada ketenangan.
Kita sedia maklum bahawa Allah swt telah menyatakan bahawa
hanya dengan mengingati Allah swt mampu membuatkan hati kita tenang. Rujuk
surah Ar-Ra’du ayat ke-28. Apabila kita sentiasa mengingati Allah swt,
ketenangan akan hadir muncul dalam diri kita. Semua perkara yang kita lakukan
kita kembalikan kepada Allah swt. Hal ini membuatkan kita sentiasa berwaspada
dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu dek kerana kebimbangan kita terhadap
hukum hakam Allah swt. Kebimbangan terhadap hukum Tuhan tadi melahirkan suatu
tindakan yang waspada pada diri kita dalam melakukan sesuatu perkara. Apabila
kita berwaspada, itu tanda kita ingat padaNya. Apabila ingat padaNya,
ketenangan akan muncul tiba. Pastinya.
Kita perlu merebut ketenangan.
Pernahkah kita berjumpa dengan seseorang yang baik budi
pekertinya, cantik tutur katanya, elok wajah ketampananya, dan sabar serta
tenang dalam menghadapi pelbagai masalah yang menjengahnya?
Jika pernah, tidak terfikirkah kita mengapa mereka tenang
saja dengan masalah yang dihadapi mereka?
Seseorang yang mempunyai peribadi sedemikian rupa pastinya
sentiasa mengembalikan tindakannya kepada ingin mencapai redha Allah swt.
Apabila mereka menghadapi masalah yang berat dan sukar, mereka yakin pada diri
yang masalah itu semua ialah ujian daripada Allah swt kepada mereka untuk
melihat tahap keimanan mereka. Maka mereka berfikir, bagaimana untuk menghadapi
ujian tersebut dalam konteks untuk memperoleh keredhaan Allah swt. Konteks
ingin memperoleh keredhaan Allah swt ini bermaksud penyelesaian maslah tersebut
memberi faedah dan kebaikan kepada semua yang terlibat dengan masalah tersebut.
Ada saja golongan yang mereka ingin menyelesaikan sesuatu
masalah tersebut tetapi tidak memikirkan kepada semua yang menghadapinya sama.
Kadang-kadang sikap pentingkan diri sendiri lahir dalam diri mereka ini.
Kadang-kadang ada juga dalam penyelesaian masalah tersebut, ada yang akan
kecewa atau terluka. Saya tak nafikan perkara itu memang ada berlaku. Tetapi,
mengapa kita tidak berusaha menyelesaikan dengan lebih baik bukan dengan caca
merba begitu saja?
Jika permasalahan tadi dapat diselesaikan dengan baik, sudah
pasti semuanya akan berlapang dada. Maka ketenangan hadir dalam hidup kita.
Keindahan hidup dalam bermasyarakat mampu dibina. Kerana kita tahu yang kita
ingin capai redhaNya.
Kalau kita hendak fikirkan kembali, semuanya bermula
daripada seketul daging tadi. Apabila hati kita bimbang akan perkara buruk yang
akan berlaku, maka kita akan lebih berwaspada.
Kita bukan hanya berhati-hati di jalan raya, tetapi juga
berhati-hati dalam semua tindakan kita. Agar tindakan itu menggapai rahmat dan
redhaNya.
Hanya kerana itu matlamat hidup kita.
HazimZahari
Hambailahi07
Comments
Post a Comment