Ibrah Daripada Sang Semut


Kisah bermula apabila suatu hari Nabi Sulaiman a.s bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam masa setahun. Semut menjawab, ia hanya memerlukan makanan sebesar sebiji gandum.

Lalu Nabi Sulaiman a.s memasukkan semut tersebut ke dalam sebuah botol dengan diletakkan bersamanya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup.

Cukup tempoh setahun, mulut botol itu dibuka semula oleh Nabi Sulaiman a.s. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.




Nabi Sulaiman a.s bertanya, mengapa hanya separuh sahaja makanan yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata yang dia memerlukan makanan sebesar sebiji gandum?

Sang semut menjelaskan bahawa jika berada di luar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah swt dan dia yakin Allah swt pasti akan mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tak perlu risau dengan hakikat itu.

Tetapi apabila dikurung oleh manusia ( Nabi Sulaiman a.s ) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan keprihatinan manusia. Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan terjadi padanya?

Begitu kita dapat melihat pendirian teguh daripada seekor semut, Dia hanya meletakkan keyakinannya tentang rezekinya hanya kepada Allah swt. Walaupun sampai suatu ketika rezekinya ditentukan oleh keprihatinan manusia, namun dia tetap berjaga-jaga dengan berjimat cermat dalam menguruskan makanannya. 

Berlainan kita manusia yang sering lupa. Apabila nikmat yang kita peroleh melimpah ruah, kita lupa untuk berwaspada dengan nikmat yang diperoleh tersebut dengan mensyukuri rezeki yang diberikan Allah swt. Namun. apabila Allah menarik nikmat itu daripada diri kita, sudah pasti kita menggelabah meminta kembali daripadaNya. Itulah kita. Sering saja melakukannya.

Belajarlah kita untuk bersyukur dengan nikmat dan rezeki kurniaanNya. Berusahalah kita untuk menghargai nikmat tersebut dengan meletakkan sepenuh pengharapan kita kepada Allah swt. Seperti mana tawakkalnya seekor semut kepada Tuhannya.

Jika sang semut mampu melakukannya. Mengapa tidak kita manusia yang diberikan akal oleh Allah swt untuk melakukannya juga? 

Mari sama-sama kita.


-- Beduk Diketuk -- 



HazimZahari
Hambailahi07
290415
Ketereh, Kelantan.

Comments

Popular posts from this blog

Coretan Pertama Di Negara Orang

MIM, SAD, RA’ – MUSIBAH, SABAR, REDHA

Dengan Bismillah Aku Nukilkan